Monday, 12 March 2012

Jaguh All England : Super Dan rangkul gelaran kelima di All England






Lin Dan bersama piala yang dimenangi di Kejohanan Seluruh England 2012


Jaguh tembok besar China sekali lagi berjaya merangkul gelaran juara kali ke-5 di Kejohanan Seluruh England selepas jaguh negara Lee Chong Wei memberi kemenangan percuma kepada musuh ketatnya apabila mengalami kecederaan bahu.

Lin Dan berjaya menewaskan Lee Chong Wei 19-21 di separuh masa pertama ,sebelum jaguh negara terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika ketinggalan 2-6 separuh masa kedua. Impian Lee Chong Wei mencipta juara kali ketika di Kejohanan Seluruh England untuk kali ketiga tidak kesampaian.

Namun begitu sebelum perlawanan perseorangan lelaki ini berlangsung terdapat desas-desus yang mengatakan jaguh negara mengalami kecederaan tangan tetapi pasukan Malaysia cuba menyembunyikan untuk mengelakkan pemain lawan mengetahui tentang tahap kesihatan Lee Chong Wei. Segala desas-desus berjaya dinafikan apabila jaguh negara Lee Chong Wei melangkah masuk dengan semangat ke gelanggang arena Birmingham di sertai laungan' Malaysia Boleh' oleh sebahagian pelajar-pelajar Malaysia kepada pemain nombor satu di dunia.

Perlawanan pertama sangat sengit apabila kedua-dua pemain saling berkejar mata tetapi jaguh negara Lee Chong kelihatan bergelut pada awal perlawanan apabila beberapa pukulan tidak setangkas semasa menentang jaguh Korea Selatan, Lee Hyun II di separuh akhir. Walaupun beberapa kali Lin Dan mendahului tetapi jaguh negara tidak membiarkan lawannya meninggalkan jauh apabila menyamakan kedudukan 10-10 sebelum jaguh China menjumpai mata 11-10 untuk berhenti rehat seketika. Semasa rehat Lee Chong Wei telah meminta pengadil memanggil pegawai perubatan untuk mendapatkan rawatan kecederaan bahu yang kelihatan berbalut sebelum turun ke gelanggang. Penyokong Malaysia di Birmingham dan di tanah air  sedikit kegelisah melihat Lee Chong Wei terpaksa menerima rawatan dan berdoa kecederaan jaguh negara tidak teruk.

Datuk Lee Chong Wei menerima rawatan di bahu kanan yang cedera daripada pegawai perubatan

Jaguh negara dapat meneruskan perlawanan sambil mendapat sokongan padu daripada penyokong negara. Lin Dan ternyata mengambil kesempatan ke atas kecederaan Lee Chong Wei apabila terus menyerang kepada Lee Chong Wei sehingga berjaya mendahului 16-11. Jaguh tembok besar China ini menggunakan pelbagai variasi pukulan untuk memerangkap jaguh negara hingga Lee Chong Wei terpaksa merebahkan badan untuk menyelamatkan bulu tangkis. Lee Chong berjaya mendekatkan mata kepada 15-16, perlawanan berhenti seketika apabila pegawai perubatan sekali lagi terpaksa di panggil untuk memberi rawatan kepada Lee Chong Wei.  Selepas rawatan itu  jaguh negara berjaya membuat pukulan pantas lebih pantas dan mendapat rentak permainan sehingga mata terikat 19-19 sebelum tewas kepada Lin Dan 19-21.
.
Kecekalan dan semangat Lee Chong Wei walaupun menanggung kesakitan untuk terus melawan jaguh dari China wajar dijadikan contoh kepada pemain pelapis negara yang lain agar jangan mudah menyerah kalah sebelum berjuang. Namun yang menarik perhatian penulis apabila pertama kali kedua-dua jaguh badminton yang merupakan musuh ketat antara satu sama lain dalam gelanggang bertukar baju mereka menggambarkan semangat kesukanan yang tinggi daripada kedua-dua pemain.

Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan bertukar baju selepas jaguh negara menarik diri akibat kecederaan
 

Mengikut rekod kedua-dua jaguh ini ternyata jaguh China lebih unggul daripada jaguh negara apabila menang 18 kali ke atas pemain nombor satu dunia sedangkan jaguh negara hanya menang sembilan perlawanan. Namun itu semuanya atas kertas sebelum kedua-dua bertemu sekali lagi di final di kejohanan tertua di dunia ini.Pertemuan terakhir kedua-dua jaguh terbaik di dunia ini pada Kejohanan Terbuka Korea 2012 dengan Lee Chong Wei muncul juara menewaskan Lin Dan dengan tiga set 12-21, 21-18, 21-14.

Penulis dan rakyat Malaysia mendoakan  Datuk Lee Chong Wei akan cepat sembuh sebelum Kejohanan Olimpik di London pada bulan Julai nanti. Malang menimpa kedua-dua jaguh badminton yang terbaik di dunia Taufik Hidayat dan Pete Gade apabila penampilan terakhir mereka di Kejohanan Seluruh England memberi mimpi buruk terutamanya kepada Pete Gade apabila tewas pada pusingan pertama kepada pemain kurang ternama dari England Rajiv Osind manakala Taufik Hidayat tewas kepada Lin Dan di suku akhir.Peminat badminton pasti akan merasa kehilangan kedua-dua Legenda badminton apabila mereka bersara dalam arena badminton selepas sukan Olimpik.


No comments:

Post a Comment