Tuesday, 20 March 2012

Jaguh Hoki Kelayakan Olimpik : Korea pasukan Asia ketiga layak ke Olimpik



Lee Nam Yong menjadi wira pasukan Korea Selatan apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada 2 saat sebelum perlawanan tamat untuk menghantar pasukan Korea ke sukan Olimpik 2012.

Jaringan kontrovesi  Lee Nam Yong hadir selepas pasukan Korea mendapat pukulan percuma di luar penalti sebelum disudahi dengan pukulan kencang oleh pemain Korea sekaligus mencipta kemenangan kepada Korea 3-2 menewaskan pasukan Ireland.

Pasukan Korea muncul negara ketiga dari Asia yang berjaya ke Olimpik London mengiringi  pasukan Pakistan dan India.

Pasukan Ireland terlebih dahulu mencemaskan pasukan Korea Selatan apabila berjaya menjaringkan gol awal pada minit ke-13 oleh Peter Caruth. Namun sikap tidak berputus asa pasukan Asia ini untuk mendapatkan gol akhirnya terlerai apabila larian solo penyerang Korea Nam Yong berjaya menewaskan benteng pertahanan Irish untuk mengikat 1-1 sebelum masuk ke bilik persalinan.


Babak kedua permainan pasukan Korea Selatan mendominasi permainan dengan pukulan pantas dan kemahiran individu yang tinggi oleh pemain mereka. Pasukan tuan rumah yang mendapat sokongan padu dari penyokong mereka sekali lagi berjaya membolosi kubu Korea Selatan jaringan  Timothy Cockram penyerang terbanyak  Ireland dalam pusingan akhir kelayakan hoki ke Olimpik untuk mendahului 2-1.

 Pasukan nombor enam dunia ini tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila penjaga gol Irish menjatuhkan penyerang Korea dalam kotak penalti  memaksa pengadil memberi pukulan penalti stroke kepada pasukan Korea.

 Penyerang Korea Lee Nam Yong yang diberi tanggungjawab mengambil pukulan penalti tenang menewaskan penjaga gol Ireland untuk mengikat pasukan tuan rumah 2-2  seterusnya mendiamkan penyokong tuan rumah dengan gol tersebut.

Perlawanan yang nampak akan berakhir dengan seri untuk membawa ke masa tambahan tetapi pasukan Korea menggunakan kelebihan apabila menerima pukulan percuma beberapa saat sebelum masa ditamatkan. Gol kemenangan yang dijaringkan oleh pasukan Korea mendapat bantahan daripada pemain Irish walaubagaimanapun gol tersebut disahkan hasil tayang semula video gol tersebut.

Pasukan Irish terpaksa menerima kekalahan di laman mereka sendiri dan peluang untuk mencipta sejarah pertama kali layak ke sukan Olimpik tidak kesampaian apabila disekat pasukan Korea Selatan. Dalam permainan selagi masa belum tamat apa-apa boleh berlaku sekirannya mana-mana pasukan yang tidak memberi tumpuan yang sepenuh akan menerima padah.








No comments:

Post a Comment